Sunday, March 22, 2009

Jangan Hampiri Zina 1

Firman Allah :
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. (al-Isra’ : 32)
Ikuti perbualan berikut dan kenali apa yang dikatakan menghampiri zina.
Kami tidak berzina!
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.
Kami hanya berbual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum... adakah itu menghampiri zina?
Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.
Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.
Hari ini, ya. Esok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan Hawa? Iblis amat licik. Pengalamannya banyak. Ia ada lebih 1001 cara. Ingat, pesanan Rasulullah :Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan (Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.
Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!
Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tetapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis, akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan berhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?
Buat masa ini, saya sekadar post ini sahaja. Sekadar berkongsi informasi. Bukan mendiskriminasi golongan yang bercinta. Saya juga bercinta. Saya juga bersua muka dengannya. Namun post kali ini bukan untuk menyindir siapa-siapa sekadar peringatan buat diri ini. Cintailah dia yang mencintai Allah lebih daripada mencintaimu.

No comments:

Post a Comment